HOSPITAL Sik menutup sementara perkhidmatan rawatan klinik pesakit luar bermula hari ini, sebagai persediaan menjadi hospital penuh Covid-19.
Pengarahnya, Dr Aniza Ahmat berkata penutupan itu akan menjejaskan rawatan pesakit luar klinik satu, dua dan tiga manakala klinik kencing manis dan darah tinggi bilik lima pula dibuka secara kaunter ekspres sambung ubat.
Bagaimanapun, katanya, klinik pakar lawatan dan cuci luka beroperasi seperti biasa.
“Pemeriksaan kesihatan bagi tujuan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) hanya akan dilaksanakan secara temu janji sahaja.
“Pesakit yang mempunyai temu janji di klinik pesakit luar dinasihati tidak hadir ke hospital sehingga 31 Julai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dr Aniza berkata, beberapa pegawai akan ditempatkan di jabatan kecemasan dan hadapan klinik pesakit luar bagi tujuan menyusun semula temu janji dan preskripsi baru bagi pesakit yang sudah kehabisan ubat.
“Bagi kes biasa bukan kategori kecemasan, boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan permohonan ujian Rapid Test Kit (RTK) Covid-19 secara berbayar tidak lagi dilaksanakan.
“Jabatan kecemasan akan beroperasi seperti biasa termasuk merawat kes yang memerlukan ujian calitan,” katanya. – Malaysiapost
Sumber Foto: FB/Hospital Sik

