Individu hadir di PPV IDCC 9 hingga 12 Julai perlu pantau gejala

0
2
Petugas-petugas barisan hadapan melakukan ujian saringan kepada orang ramai yang hadir di Dewan Seri Siantan Sungai Tua hari ini.

Nurul Huda Abhar

INDIVIDU yang hadir bagi proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pada 9 hingga 12 Julai, diminta melakukan kawalan kendiri dan memantau gejala Covid-19 selama 10 hari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata ini kerana pendedahan kepada virus tersebut di PPV IDCC mungkin berlaku pada 9 Julai dari jam 4 petang.

Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyarankan kepada mereka yang hadir vaksinasi di IDCC pada 9 Julai dari jam 4 petang untuk memantau gejala selama 10 hari.

“Kita dapati dedahan kepada virus itu mungkin berlaku pada 9 Julai.

“Jadi pada mereka yang hadir pada 9, 10, 11 dan 12 Julai untuk melaksanakan kawalan kendiri melihat kepada gejala selama 10 hari daripada tarikh kehadiran di IDCC,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Khairy berkata, gejala jangkitan Covid-19 adalah berbeza daripada gejala selepas menerima vaksin ataupun kesan sampingan vaksinasi.

“Kalau dari sudut gejala Covid-19 tidak dikelirukan dengan kesan sampingan vaksinasi, contohnya batuk dan hilang deria seperti bau dah sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata, jika dalam tempoh pemantauan selama 10 hari individu tersebut mempunyai gejala-gejala Covid-19, perlu segera membuat ujian saringan swab.

Terdahulu, seramai 204 petugas di PPV IDCC Shah Alam disahkan positif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan beramai-ramai kepada semua petugas, semalam.

Susulan itu PPV IDCC akan ditutup sementara hari ini untuk proses sanitasi dan nyah kuman yang akan dijalankan oleh pihak berkaitan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here