PPV IDCC: Semak SMS, media sosial untuk janji temu baharu

0
1
Seorang penerima vaksin melihat kad penerimaan vaksin setelah dicucuk vaksin AstraZaneca di PWTC.

Nurul Huda Abhar

ORANG ramai diminta membuat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan memeriksa maklumat di media sosial bagi tarikh janji baharu temu suntikan vaksin Covid-19 di Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Ini berikutan PPV IDCC ditutup sementara hari ini selepas 204 petugas dijangkiti Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata kesemua individu yang mempunyai janji temu hari ini telah memdapat tarikh terima suntikan yang baharu.

Beliau juga mengarahkan petugas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) ke IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari tentang penutupan PPV tersebut agar hadir pada tarikh baharu yang diberikan.

“Kami juga telah arahkan mengasingkan petugas IDCC sebelum ini, dan menukar pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi untuk jangkitan dapat dikurangkan.

“Selain itu, mengarahkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Khairy menegaskan, CITF akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan PPV IDCC selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin bagi hari-hari seterusnya.

“Saya menyeru orang ramai untuk hadir ke janji temu mereka di PPV IDCC seperti biasa selepas ini di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial sepanjang masa,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here