
SELEPAS dikejutkan dengan kehadiran lebih 4,000 individu positif Covid-19 semalam, suasana Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati di Shah Alam hari ini lebih tenang dan bertambah efisien.
Tinjauan Malaysiapost sejak jam 8 pagi tadi mendapati suasana di pekarangan Stadium Melawati agak sesak namun terkawal.
Pada masa sama, tiada lagi kelihatan barisan panjang pesakit Covid-19 menunggu giliran untuk menentukan rawatan selanjutnya.
Bagaimanapun jumlah pesakit Covid-19 yang datang ke CAC hari ini dianggarkan kira-kira 2,000 orang, namun perkhidmatan CAC bertambah baik dan tempoh menunggu tidak terlalu lama seperti semalam.
Selain itu, aliran trafik masuk ke kawasan CAC sedikit sesak dan kelihatan polis dan penguatkuasa mengawal lalu lintas.
Semalam, tular di media sosial orang ramai yang sah positif Covid menyerbu CAC Stadium Melawati untuk mengetahui rawatan selanjutnya yang sepatutnya diterima mereka.
Malah difahamkan, ada pesakit yang perlu menunggu sehingga 11 jam untuk mendapatkan gelang pengesahan sebagai pesakit Covid-19.
Dilaporkan, ia jumlah tertinggi pernah dilaporkan untuk mendaftar masuk ke pusat berkenaan yang berkapasiti untuk menerima antara 1,500 hingga 2,000 orang sahaja.
Kebiasaannya pusat berkenaan menerima antara 1,200 hingga 1,500 orang setiap hari.
Difahamkan, orang ramai mula beratur sejak jam 8 pagi yang mana barisan panjang dilaporkan sehingga 500 meter. – Malaysiapost
