PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dan sedih terhadap laporan nelayan tempatan didakwa menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran demi kelangsungan hidup.
Ini kerana mereka dikatakan terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan tidak dapat turun ke laut hingga pendapatan terjejas.
Justeru, beliau mempersoalkan nasib rakyat di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang disifatkan tiada pembelaan, malah menjadi semakin buntu dan tersepit hingga terpaksa mencari rezeki secara haram.
“Hati saya remuk tatkala membaca berita ini. Sedih, kesal, geram bercampur baur. Saya pasti mereka yang ada hati perut dan perikemanusiaan juga merasa begitu.
“Mengapa begini sekali nasib rakyat Malaysia di bawah kerajaan PN?
“Sehinggakan nelayan sanggup mengambil risiko jadi penyeludup daun ketum. Demi menyara diri dan keluarga selepas tidak dapat turun ke laut kerana PKP,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau mengakui perbuatan itu suatu kesalahan dan tidak menyokong perkara yang menyalahi undang-undang.
Namun, katanya, jika dilihat sebaliknya, ia menjelaskan situasi seseorang yang terpaksa dan terdesak mahu meneruskan kehidupan demi menyara keluarga.
“Biarlah undang-undang yang menentukan. Saya tidak menyokong perbuatan yang menyalahi undang-undang. Tetapi sebagai manusia apabila mengetahui kisah di sebalik cerita, naluri mana tidak tersentuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau percaya nasib nelayan terbabit berbeza sekiranya penularan pandemik dapat diselesaikan lebih awal dengan menggunapakai cadangan dari Umno.
“Saya juga percaya jika ada bantuan sewajarnya seperti yang selalu Umno desak pasti tidak begitu keadaannya dan saya pasti pasukan siber sebelah sana tidak peduli pun semua itu.
“Walau apa penderitaan rakyat, tugas mereka menjaga reputasi dan kedudukan bos mereka. Tugas seterusnya ‘serang’ Presiden Umno kerana enggan membenarkan Umno di bawah telunjuk,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup keluar satu tan daun ketum dipercayai oleh nelayan tempatan di kedudukan 0.1 batu nautika dari muara Kuala Kerpan, Jerlun pada 1.30 pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pasukan serbuan menemui 100 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum di atas bos tersebut dengan nilai sekitar RM180,000.
Menurutnya, barangan larangan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah lebih RM180 setiap satu kilogram berbanding pasaran tempatan RM40.
“Upah diterima untuk membawa barang larangan seperti ini biasanya RM200 bagi satu perjalanan. Jika berat daun ketum mencecah satu tan, upahnya sudah dikira lain iaitu berdasarkan beratnya.
“Upah sebegini memang menarik minat nelayan ataupun komuniti maritim untuk membawanya kerana pendapatan mereka tidak menentu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya. – Malaysiapost

