KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan tawaran iklan berhubung Permohonan Terbuka Rumah Mampu Milik Serendah RM30,000, Skim Myhome dan MyDeposit 2021 serta Bantuan RM60,000 Bina Rumah Atas Tanah Sendiri.
Kesemua tawaran itu yang kononnya di bawah Skim Pinjaman Perumahan (SPP), tular di media sosial dan dikesan diiklankan secara dalam talian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
KPKT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan iklan palsu berikutan terdapat pelbagai aduan dan pertanyaan daripada orang awam berhubung iklan tersebut.
Jelas Kementerian itu, pada masa ini, hanya permohonan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam (PPAM), Perumahan PR1MA dan SPNB sahaja yang dibuka oleh KPKT.
“Terdapat juga kekeliruan orang awam berhubung harga tawaran bagi ‘Program PPR Dimiliki’.
“Harga jualan yang ditetapkan adalah RM35,000 seunit bagi Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit bagi Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
KPKT turut menasihati orang awam untuk merujuk laman sesawang rasmi KPKT di https://www.kpkt.gov.my dan laman sesawang Jabatan Perumahan Negara di https://ehome.kpkt.gov.my atau https://teduh.kpkt.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai program dan skim terkini ditawarkan KPKT.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati agar tidak terpedaya atau terkeliru dengan sebarang tawaran permohonan yang diiklankan. – Malaysiapost
Foto Kredit: Laman Sesawang Jabatan Penerangan

