Najib gagal dapatkan dokumen 1MDB

0
2
najib razak

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal mendapatkan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Goldman Sachs.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu hari ini.

Sequerah dalam penghakimannya, berkata maklumat yang ingin diperoleh oleh pembelaan bukanlah sebahagian daripada kes pendakwaan.

Sehubungan itu katanya, pendakwaan tidak perlu untuk mengemuka sebarang dokumen yang bukan menjadi sebahagian daripada kes mereka, lapor Berita Harian.

“Apa yang diminta oleh pembelaan seperti mengarahkan pendakwaan untuk mengendalikan siasatan berdasarkan apa yang dicadangkan oleh pembelaan.

“Pembelaan juga tidak boleh menentukan bagaimana pendakwaan mengendalikan perbicaraan,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, pasukan pembelaan Najib memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemuka beberapa penyata bank dan dokumen lain kepada pihak pembelaan, dipercayai berkaitan dengan ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April lalu, Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5 bilion (RM10.4 bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) yang dirampas di seluruh dunia, sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit yang disahkan Najib bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan adil.

Najib turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs membabitkan komunikasi Leissner.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pangubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here