Asyraf Wajdi yakin Ahli Parlimen Umno ikut keputusan MKT

0
3
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KETUA Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yakin ahli-ahli Parlimen Umno akan mengikut keputusan parti itu untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila tiba masanya.

Beliau berkata, keyakinan dinyatakan kerana sehingga kini tidak ada ahli-ahli Parlimen parti itu yang menentang keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Rabu lalu.

“Hari ini kalau kita tengok ahli-ahli Parlimen kita tidak ada seorang pun yang menentang keputusan MKT.

“Kenyataan yang keluar sekarang ini semua surat-surat tanpa ‘letterhead’ Barisan Nasional (BN) dan tanpa tandatangan kononnya ahli-ahli Parlimen BN menentang keputusan MKT,” katanya menerusi program ‘live 60 minit’ yang disiarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, semasa mesyuarat MKT Rabu lalu, hampir kebanyakannya bersetuju dengan keputusan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Cuma yang membezakan ahli-ahli MKT hari itu adalah soal ‘timing’ sahaja. Ada yang kata tunggu Parlimen.

“Tapi soal ‘timing’ ini hanya enam orang sahaja daripada 56 orang. 50 orang lagi semua setuju untuk kita tarik serta- merta,” katanya.

Asyraf Wajdi menjelaskan keputusan MKT Umno pada masa itu juga tidak dipengaruhi oleh Ahmad Zahid.

“Jangan kata MKT ini dipengaruhi oleh Presiden. Parti ini bukan milik seorang individu. Parti ini milik kolektif,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajid berkata, tindakan menarik balik sokongan terhadap Muhyddin tidak akan menyebabkan kerajaan tumbang dalam tempoh darurat.

“Kita tarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah sebagaiman kita memberi sokongan kepada pada 11 Mac 2020 (pembentukan Kerajaan PN).

“Tarik sokongan kepada Perdana Menteri dalam tempoh darurat kerajaan tidak akan jatuh dan ia diserahkan kepada Parlimen untuk menentukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here