APLIKASI perancang perjalanan, PULSE atau ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’ kini diperluaskan fungsinya merangkumi perkhimatan Rapid Penang di Pulau Pinang meliputi Seberang Prai dan Rapid Kuantan di Pahang.
PULSE diperkenalkan kepada pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada 17 Disember tahun lalu.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datin Norlia Noah berkata dengan perluasan fungsi tersebut, PULSE memudahkan pengguna di Pulau Pinang dan Kuantan termasuk kawasan sekitarnya seperti Bandar Diraja Pekan untuk merancang perjalanan dengan lebih baik sekali gus mengoptimakan masa dengan produktif.
Katanya, aplikasi PULSE mempunyai beberapa fungsi penting bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar untuk perkhidmatan bas dan rel (Real-Time Bus and Train ETA), paparan notifikasi atau ‘Push Notifications’ dan kalkulator tambang.
“Ia turut memaparkan peta stesen-stesen tren dan hab bas serta tempat menarik di persekitarannya seperti pusat membeli-belah, tempat makan dan santai serta lokasi tarikan pelancong bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan dan aktiviti.
“Sejajar pelan digitalisasi tiga tahun bagi PULSE, ia akan dikembangkan lagi di masa hadapan dengan pelbagai inisatif sebagai menghargai sokongan pengguna kami.
“Antara lain, PULSE akan dilengkapi fungsi pembelian atas talian, program kad kesetiaan, promosi dan ganjaran dengan rakan-niaga, ‘plug-in’ bagi akaun media sosial pengguna dan gamifikasi,” katanya menerusi kenyataan.
Norlia berkata, penambahbaikan pula, terutama dari segi meningkatkan kepantasan pihaknya untuk berkongsi maklumat tentang status perkhidmatan dan maklumbalas dengan pengguna, dilakukan secara progresif supaya PULSE kekal aplikasi pilihan pelanggan pengangkutan awam kendalian Prasarana.
“Setakat ini PULSE dimuat turun lebih 20,000 kali oleh pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang, merangkumi semua perkhidmatan tren dan bas di bawah seliaan Rapid KL termasuk LRT, MRT dan monorel serta bas BRT, GoKL dan Smart Selangor,” katanya.
Serentak dengan pelancaran versi terbaru PULSE, katanya, pengguna yang memuat turun aplikasi itu berpeluang menyertai kempen promosi dinamakan “Mana Oyen?”, bermula 23 hingga 30 Julai 2021.
“Tiga penyertaan lengkap dan dengan jawapan betul dari setiap lokasi (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan) akan memenangi hadiah misteri; manakala 50 penyertaan terawal akan mendapat Kad My Rapid Touch ‘n Go edisi terhad,” katanya.
Aplikasi PULSE by Prasarana boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play. – Malaysiapost

