JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 di Kuala Lumpur berjaya mencapai 100 peratus bagi suntikan dos pertama.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, berkata data itu bagaimanapun turut merangkumi suntikan vaksin membabitkan penduduk dari luar Kuala Lumpur dan data terkini akan dikemaskini.
“Syukur kepada Allah SWT.. suntikan di WP KL mencapai 100 peratus untuk dos pertama. Namun, kerana terdapat juga bukan warga KL yang mengambil suntikan di KL, data perlu dikemas kini yang mana kira-kira 20 peratus mungkin bermastautin di luar KL.
“Apapun, kira-kira 80 peratus warga ibu kota sudah mendapat dos pertama,” katanya dalam satu ciapan di Twitter malam ini.
Beliau turut berkongsi data jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menunjukkan seramai 1,795,261 orang sudah lengkap menerima suntikan dos pertama dan kedua di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kuala Lumpur mencatatkan pemberian suntikan vaksinasi 1,369,537 dos pertama dan 339,043 dos kedua setakat jam 11.59 malam 10 Julai 2021.
Sementara itu, dalam satu lagi ciapan terbaharu, beliau berkata strategi saringan dan vaksinasi penduduk di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan diteruskan.
“Kita teruskan strategi ini biarpun tenaga kita cukup penat dengan lokaliti PKPD yang banyak. Sambil itu kita gempur dengan suntikan vaksin.
“Kita mahu tamatkan lock down dan kehidupan warga kota segera kembali normal dan dipertingkat..Insha-Allah,” katanya. – Malaysiapost

