Rakyat sudah tidak tertanggung lagi – Zahid Hamidi

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

SITUASI semasa akibat Covid-19 ketika ini menunjukkan kebanyakan rakyat sudah tidak mampu menanggung tekanan yang berpunca daripada wabak berkenaan hingga mengakibatkan banyak insiden tidak diingini berlaku.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara sedang berdepan kegagalan maha dahsyat dengan kes harian jangkitan Covid-19 semalam hampir mencecah 10,000 kes.

Menurutnya, rakyat sudah tidak tertanggung lagi, namun pemimpin yang berkuasa seolah-olah terus bermain politik bagi menjamin kedudukan.

“Hari ini ada dua perkhabaran yang cukup menyayat hati. Pertama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilapor meninggal dunia. Berita awal menyebut pelajar itu mengalami beban belajar dalam talian. Maklumat awal seperti dilaporkan media itu andai benar sangat mendukacitakan.

“Kedua berlaku kekecohan semasa pengebumian jenazah kes Covid-19 di Klang, Selangor. Disebabkan rasa tidak puas hati antara sukarelawan pengurusan jenazah dan petugas kesihatan.

“Kedua-dua pihak kelihatan sudah begitu kepenatan sehingga berlaku pertelingkahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, disebabkan perkara sedemikian Malaysia perlu segera keluar daripada ancaman pandemik Covid-19.

“Rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara sedang berdepan kegagalan maha dahsyat. Kes harian jangkitan Covid-19 semalam telah pun mencecah hampir 10,000 kes.

“Tetapi yang dipuncak kuasa seolah-olah terus bermain politik menjamin kedudukan. Sebab itu kita mahu menghentikan permainan politik itu secepat mungkin.

“Rakyat dan negara perlu diselamatkan segera. Kita berusaha sehabis baik,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan semester tiga UiTM Kedah, meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri di rumah sewanya.

Seorang lagi, Muhammad Adham Hazim, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang disahkan meninggal dunia semalam.

Kedua-dua pelajar itu dikatakan mengalami tekanan berikutan perlu menjalani kuliah dalam talian, selain bebanan menyiapkan tugasan dan persiapan menghadapi peperiksaan akhir.

Sementara itu, tular satu rakaman video pertelingkahan antara kumpulan sukarelawan pengurusan jenazah dengan kakitangan pejabat kesihatan daerah (PKD) di tanah perkuburan di Klang yang dikatakan berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati kerana kakitangan PKD tidak membantu sukarelawan mengebumikan jenazah kes Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here