PENINGKATAN kes Covid-19 sejak kebelakangan ini berpunca daripada beberapa faktor utama antaranya penemuan varian baharu yang mempunyai impak lebih serius ke atas individu serta menular dengan lebih cepat berbanding jangkitan biasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Jawatankuasa Teknikal Covid-19 dalam sidang media baru-baru ini, telah mengeluarkan analisis dapatan data terkini perkembangan wabak berkenaan di seluruh dunia.
“Di Afrika, kadar peningkatan kes jangkitan Covid-19 telah meningkat kepada 16.7 peratus, manakala di kawasan timur Mediterranean pula 16.4 peratus.
“Analisis negara di Eropah juga merekodkan sebanyak 33 peratus kadar peningkatan jangkitan dan 8.6 peratus di bahagian Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19, Malaysia berada di landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
“Kemajuan kadar vaksinasi harian di Malaysia hari ini telah pun melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia, malah vaksinasi harian juga kebelakangan ini mencatat sejumlah 250,000 dos suntikan sehari secara konsisten dan disasarkan 300,000 dos suntikan sehari mulai bulan ini.
“Ini memberi gambaran kita sedang berada di landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala,” katanya.
Beliau mengingatkan rakyat terus meningkatkan kawalan kendiri atau ‘self lockdown’ dengan duduk di rumah dan keluar jika terdapat keperluan serta patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti. – Malaysiapost

