Permohonan i-Citra mulai esok

0
2

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra mulai esok iaitu lebih awal dari tarikh ditetapkan sebelum ini pada 15 Julai.

Pengumuman itu dimaklumkan Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP melalui laman sesawang icitra.kwsp.gov.my hari ini.

Menurut KWSP, pencarum dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit sama seperti dalam rekod KWSP bagi memudahkan ahli mengemukakan permohonan dalam i-Citra.

Menurutnya, ia penting bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran itu.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan,” menurut kenyataan itu.

KWSP turut memaklumkan, pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank pencarum mulai bulan depan.

Maklumat lanjut mengenai i-Citra serta cara membuat permohonan boleh dirujuk di laman komunikasi rasmi KWSP, laman web www.kwsp.gov.my atau menghubungi talian i-Citra 03-89224848.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akhir bulan lalu, mengumumkan lanjutan pengeluaran wang caruman KWSP sehingga RM5,000 melalui kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.

Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan sehingga RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here