Selangor berada di landasan betul perangi Covid-19 – MB Selangor

0
2

KERAJAAN berada di landasan yang betul dalam menangani wabak Covid-19 di Selangor walaupun berlaku peningkatan kes ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan menumpukan dengan lebih fokus dalam memerangi wabak berkenaan termasuk memastikan saringan lebih banyak dan tertumpu, di samping meningkatkan vaksinasi.

Menurutnya, seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, peningkatan kes Covid-19 ketika ini disumbangkan oleh beberapa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan lokasi.

“Kita telah mewajibkan semua penduduk yang dikepung untuk melakukan saringan Covid-19.

“Kita menjangkakan dengan saringan lebih banyak, dapat menjejak mereka yang mempunyai kontak dengan yang positif dan dijangkakan dalam tempoh beberapa hari kes di Selangor berada dalam sekitar melebihi 4,000 kes,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau meminta rakyat bersabar terutama penduduk di kawasan yang dikenakan PKPD dalam menghabiskan tempoh dua minggu yang ditetapkan.

“Pada waktu ini ada enam mukim dikenakan PKP dan ada tujuh lokaliti PKPD iaitu Jalan Kebun, Klang; Taman Murni, Sepang; Gamuda Garden, Gombak; Pangsapuri Sri Ayu, Bangi, Kajang dan Mentari Court serta Westlite di Petaling Jaya

“Saringan akan dijalankan, malah kita turut melaksanakan proses vaksinasi kepada mereka yang telah terkepung ini untuk memastikan yang negatif dapat dilindungi dan mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya.

Amirudin berkata, mengenai vaksinasi pula, perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Selangor setakat 8 Julai lalu, seramai 1.756 juta individu.

“Ini menjadikan Selangor paling ramai menerima vaksin dan jumlah pendaftaran pula 4.21 juta individu setakat tempoh sama.

“Ini menepati sasaran iaitu 88.35 peratus daripada sasaran warga dewasa yang layak mendaftar untuk menyertai program PICK,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan Program Vaksinasi Selangor (SelVax) yang telah mencatatkan 44,233 dos berjaya dilaksanakan di kalangan penerima SelVax komuniti iaitu 11,393 individu dan selebihnya 32,840 adalah penerima dalam program SelVax Industri.

“Pada Jun lalu, keupayaan vaksinasi di Selangor sekitar 43,000 dos sehari dan sekarang dipertingkatkan kepada lebih 89,000 dos sehari dalam PICK.

“Ini ditambah lagi dengan program SelVax yang berkeupayaan memberikan sebanyak 20,000 dos sehari pada waktu ini sebelum mencapai lebih 40,000 dos pada akhir Julai dan awal Ogos ini.

“Kita percaya bukan sahaja mampu mencapai sasaran 135,000 dos sehari pada Julai dan 165,000 dos sehari pada Ogos, malah percaya dapat percepat dan meningkatkan jumlah itu dengan lebih tinggi lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here