SEBANYAK 63 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam, kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor perkilangan dan premis perniagaan yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 83,068 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,661 orang.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,915 kilang, 18,278 premis perniagaan, 574 tapak pembinaan dan 192 asrama penempatan pekerja.
“Daripada jumlah itu, 63 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi operasi pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, seramai 547 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semalam.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, daripada jumlah itu, seramai 533 individu dikompaun, manakala 14 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (97), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (82), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (67), tidak memakai pelitup muka (56), membawa penumpang berlebihan (44) dan lain-lain kesalahan (201),” katanya.
Sementara itu, menurutnya, dalam kawalan sempadan negara melalui Op Benteng berjaya menangkap 51 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga buah kenderaan darat, semalam. – Malaysiapost

