Rina Harun mohon maaf suap anak Fendi Caliph Busker makanan

0
2

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun memohon maaf atas tindakannya menyuapkan makanan kepada anak perempuan, pemuzik Caliph Busker Fendi Adlun, ketika menziarahi keluarga terbabit di ibu negara semalam.

Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat selepas tindakannya itu yang mendapat banyak komen daripada orang ramai.

“Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin akan pematuhan SOP dalam usaha menangani penyebaran wabak Covid-19.

“Berikutan berita yang tular berkenaan tindakan saya menyuapkan makanan kepada seorang kanak-kanak OKU bernama Nur Azalea Zafirah, berusia 6 tahun yang merupakan anak kepada saudara Fendi Adlun, pemuzik Caliph Buskers.

“Saya memohon maaf andai kiranya tindakan responsif saya tidak menyenangkan mata dan menimbulkan persoalan dan kebimbangan kepada sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kanak-kanak tersebut merupakan seorang anak OKU penglihatan dan Autisme.

Rina berkata, kanak-kanak itu berada dalam keadaan kurang ceria ketika ketibaannya namun beransur ceria dan tenang apabila dipujuk serta ditawarkan hidangan makanan dibawanya.

“Bapa beliau sendiri memaklumkan bahawa anaknya tidak mampu makan sendiri dan perlu dibantu dengan menyuapkan makanan kepada anaknya.

“Hati saya mula tersentuh apabila kanak-kanak tersebut sendiri menyebut ‘Nak Aunty suap’ kepada saya.

“Untuk tidak menghampakan anak istimewa ini, saya terus menyuapkan makanan tersebut sebagai sebahagian pendekatan psikososial dalam menzahirkan rasa kasih kepada kanak-kanak apatah lagi kepada insan yang kurang bernasib baik ini,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, beliau sendiri mengamalkan kebersihan kendiri setiap masa di mana tangan telah disanitasi setiap kali sebelum dan selepas dirinya menyantuni kumpulan sasar.

“Saya sentiasa memastikan sanitizer dan tisu basah berada dalam simpanan saya untuk memastikan kebersihan kendiri menjadi amalan setiap masa.

“Saya juga memakai pelitup muka sepanjang sesi saya menyantuni saudara Fendi dan anaknya Nur Azalea Zafirah.

“Saya turut berpesan kepada diri sendiri dan semua masyarakat di luar sana agar terus ingat mengingati sesama kita dalam usaha mengamalkan norma baharu dan terus menjaga kebersihan kendiri.

“Usaha berterusan saya untuk terus membantu golongan yang memerlukan adalah satu ikrar diri bahawa saya tidak akan berhenti untuk terus menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa membeza-bezakan latar belakang mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap orang ramai yang sedia menegurnya bagi memperbaiki tugasan sehariannya.

“Terima kasih sekali lagi buat komen-komen yang membina yang diberikan dalam usaha memperbaiki tugasan, amanah dan tanggungjawab kebajikan yang saya usahakan.

“Saya memohon maaf sekali lagi atas kelemahan yang terjadi. Sesungguhnya sebagai seorang manusia, saya juga tidak lari melakukan kesilapan.

“Semoga kita terus dilindungi dan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 ini dengan segera,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial Rina didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal malah menyuap seorang kanak-kanak secara sentuh terus semasa kunjungannya di kediaman Fendi, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here