Tun Faisal sangkal dakwaan Malaysia menuju negara gagal

0
1
Tun Faisal Ismail Aziz

TIMBALAN Ketua Bahagian Umno Putrajaya yang digantung keahliannya, Tun Faisal Ismail Aziz menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara yang gagal.

Beliau berkata, sebelum ini ada pihak menuduh ‘kerajaan gagal’ namun bertukar sebagai ‘negara gagal’ kerana kes positif Covid-19 dilihat meningkat setiap hari walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan termasuk darurat.

Bagaimanapun, katanya, keadaan Malaysia sama seperti negara lain yang sedang berjuang memulihkan pandemik Covid-19 serta ekonomi, dan ianya akan memakan masa dan memerlukan kerjasama semua pihak.

“Mula-mula mereka kata #KerajaanGagal, sekarang mereka kata #NegaraGagal tapi mereka lupa, negara lain pun belum bebas dari pandemik Covid19 dan selagi pandemik ini berterusan, ekonomi negara mereka akan terjejas dan pemulihan akan mengambil masa.

“Kita belum selamat, begitu juga UK, AS, Jepun, Belanda, Sepanyol, Greece, Portugal, Indonesia dan Thailand. Di Indonesia dan Jepun, darurat diumumkan,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, berkata dengan kes harian Covid-19 masih lagi tinggi, adakah langkah menarik Ordinan Darurat merupakan tindakan terbaik untuk kerajaan memperkasakan pemulihan Covid-19 dan ekonomi negara.

Katanya, kini keputusan berkaitan Covid-19 terus dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong namun jika darurat ditamatkan maka tempoh untuk menyelesaikan konflik wabak akan jadi makin panjang.

“Sewaktu kes positif Covid-19 negara sekitar 3,000, kita umum Proklamasi Darurat, sekarang kes dah meningkat lebih tinggi, wajarkah kita tamatkan darurat sedangkan perang melawan Covid-19 masih belum berakhir?

“Fikir-fikirkan lah, dengan darurat kuasa diletak di bawah Tuanku YDPA, tanpa darurat, keputusan yang nak dibuat, perlu melalui Dewan Rakyat.

“Usul 3 kali bacaan, bahas peringkat dasar dan jawatankuasa , undian, kalau lulus bawa pula ke Dewan Negara, kemudian ke YDPA dan digazetkan panjang juga masa yg perlu diambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here