CAC Stadium Malawati sesak, KKM tampil beri penjelasan

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan situasi di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang dikatakan sesak dengan pesakit positif Covid-19.

KKM menerusi hantaran Facebook menjelaskan bahawa gambar yang dimuatnaik adalah diambil pada hari yang sama, iaitu semalam.

“Ketiga-tiga gambar yang dikongsi KKM adalah diambil pada hari yang sama, Khamis, 8 Julai 2021.

“Situasi di sebelah pagi adalah terkawal dan lengang. Namun, situasi mula sesak pada waktu tengahari dengan kehadiran positif Covid-19 untuk penilaian lanjut.

“Sebahagian besar pesakit Covid-19 pada hari berkenaan dari kategori 1 dan 2,” katanya dalam hantaran itu.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan kepada individu positif Covid-19 agar datang ke CAC pada sebelah pagi bagi mengelak kesesakan kerana proses penilaian juga mengambil sedikit masa.

“Kami memohon maaf atas kekeliruan sehingga menimbulkan salah faham orang ramai terutama petugas-petugas kesihatan di lapangan,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam gambar keadaan CAC Stadium Malawati yang dikatakan sesak dibanjiri pesakit positif Covid-19.

Keadaan tersebut menimbulkan kegusaran orang ramai berikutan semalam sahaja Selangor mencatatkan 4,152 kes baharu Covid-19 dan yang tertinggi direkodkan mengikut negeri di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here