DUN Selangor bersidang mulai 23 Ogos

0
1

DEWAN Negeri (DUN) Selangor akan bersidang mulai 23 Ogos hingga 6 September 2021, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ia telah diperkenankan Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah.

“Kerajaan Selangor menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amirudin berkata Sultan Selangor juga berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan DUN Selangor 23 Ogos 2021.

Katanya, DUN Selangor kemudian akan mula bersidang selama sembilan hari, iaitu 24 hingga 27 Ogos, 30 Ogos, 1 hingga 3 September serta 6 September 2021.

“Sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas.

“Sidang DUN kali ini akan dijalankan dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) dan memfokuskan kepada segala usaha kerajaan negeri menangani penularan wabak COVID-19.

“Serta mendapatkan maklum balas dan cadangan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif,” katanya.

Beliau berkata ia juga selaras aspirasi rakyat agar setiap keputusan kerajaan negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here