Tarik sokongan, helah Umno tubuh kerajaan interim – Mujahid

0
1

AHLI Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan ‘ada udang disebalik batu’ berhubung kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden Amanah itu berkata, beliau hairan dengan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat seperti ingin mengambilalih kuasa pentadbiran secara diam-diam melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi kerajaan interim.

“Bacaan kita kepada kepelikan kenyataan Zahid Hamidi ialah ada udang sebalik batu iaitu penarikan ini ialah supaya Umno melakukan kudeta (rampas kuasa secara senyap) dengan menguasai ‘Kerajaan Sementara’ (Interim Government) melalui Ismail Sabri.

“Zahid Hamidi jelas menyebut setelah tercapai imuniti berkelompok, Umno mahukan PRU diadakan dan pada ketika itu mereka akan berada dalam posisi yang lebih baik dan yakin untuk menang bergaya,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau berkata, Muhyiddin pasti akan didesak untuk meletak jawatan dalam beberapa hari ini justeru secara tak langsung Ismail Sabri akan jadi pemangku dan kemungkinan dilantik Perdana Menteri Interim.

“Manakala H2O (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) pula akan jadi Timbalan Perdana Menteri dan majoriti Ahli Parlimen Umno akan kekal menyokong PN sehingga bubarnya Parlimen. Kerajaan tak tumbang tetapi Umno dominan!,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya benar ianya helah Umno, Pakatan Harapan (PH) akan cekal dan kekal sebagai blok terkuat dengan 89 Ahli Parlimen terus konsisten dengan prinsip perjuangan PH.

“Pimpinan tertinggi PH telah pun menegaskan fokus PH ialah selamatkan negara dari krisis covid dan ekonomi yang semakin parah.

“Fokus selesaikan krisis ini adalah aset terbesar PH untuk memenangi PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Ahmad Zahid hanyalah ribut dalam cawan dan kegagalan kerajaan gagal hari ini kerana sebahagiannya adalah dari gagalnya menteri-menteri Umno jua.

“Umno hanya mahukan Kerajaan Sementara dan itulah seadanya daripada kenyataan Zahid Hamidi, tidak lebih dan tidak kurang.

“Kenyataan Zahid Hamidi tanpa tindakan dari MP-MP Umno akan membuktikan teori “Kerajaan Sementara” manakala penarikan diri hanyalah helah untuk kelirukan orang ramai kononnya Umno bersama rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here