Malaysia – Australia jalin usaha sama penerbitan filem

0
2

MALAYSIA membuat Perjanjian Usaha Sama Penerbitan Filem (Co-Production) bersama kerajaan Australia berkuatkuasa bermula Julai ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perjanjian usaha sama itu merupakan antara inisiatif di bawah strategi pembangunan industri perfileman tempatan ke persada antarabangsa yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Perjanjian ini merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang berupaya memajukan sektor industri kreatif tempatan serta membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk penggiat industri kreatif menerusi jalinan kerjasama dengan negara Australia.

“Melalui perjanjian ini, produksi Malaysia akan dianggap sebagai produksi tempatan Australia yang membolehkan karya filem Malaysia menembusi pasaran negara-negara lain yang telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Australia seperti Kanada, China, Singapura, Itali, Jerman dan United Kingdom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, perjanjian usaha sama tersebut juga dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi bagi sektor industri kreatif tempatan serta industri-industri rantaian dan sokongan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

“Saya berharap jalinan usaha sama antara kedua-dua negara ini akan terus mengukuhkan perkongsian strategik dalam penerbitan filem, meningkatkan kualiti dan kuantiti penghasilan filem, menggalakkan pembangunan kemahiran terhadap produksi tempatan serta membolehkan pertukaran budaya dan kreativiti penerbitan antara Malaysia dan Australia,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan perjanjian usaha sama itu boleh diperolehi di laman web www.kkmm.gov.my dan www.finas.gov.my atau melalui Bahagian Galakan Penggambaran FINAS di talian 03-41041300 serta e-mel di [email protected]. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here