PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung melahirkan kekecewaan dengan situasi Covid-19 negara yang semakin meruncing serta keadaan politik negara yang berkecamuk ketika ini.
Beliau berkata, tindakan menukar Perdana Menteri atau kerajaan tidak menjamin keadaan berubah malah ia mungkin menjadi lebih buruk.
“Ini bukan waktu siapa jadi PM siapa jadi kerajaan. Ini masa kita kerjasama atasi masalah. Kerajaan jangan habis madu sepah dibuang.
“Hargai jasa doktor kontrak bantu kerajaan. Mungkin tiba masanya doktor-doktor bersara dirayu bersama membantu.” katanya menerusi hantaran Facebook.
Mengulas lanjut, Fidaus berkata, tatkala rakyat biasa terpaksa berkorban dan dikorbankan tetapi kilang dan kluster tempat kerja yang menjadi penyumbang terbesar kes dibenarkan beroperasi termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Di saat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberikan amaran sistem kesihatan di ambang kelumpuhan, kita mengharapkan agar kerajaan mengambil tindakan drastik menutup kilang yang menyumbang 80% kes di Selangor.
“Sebulan lebih PKPD, kes bukan main menurun tetapi makin meningkat. Hari ini sahaja, 8,868 kes dilaporkan. Majoriti rakyat akur dan patuh pada perintah demi kebaikan semua. Sama sama berkorban untuk melandaikan jangkitan Covid-19,” katanya.
Lebih mengecewakan katanya, layanan ‘double standard’ terus berlaku antara marhaen dan kayangan.
“Marhaen tidak boleh berkumpul, kami akur tetapi kayangan boleh bermesyuarat tanpa sebarang tindakan. Dari Selangor boleh ke Raub siap maki polis,” katanya.
Beliau berkata, negara berada di ambang kelumpuhan bermakna masih ada harapan untuk pulih ia termasuk dengan menutup semua kilang dan sektor ekonomi di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kecuali kesihatan, kedai runcit dan restoran. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.
“Wahai ahli politik, dalam pertempuran ego, yang mengalah itulah pemenang yang sebenar,” katanya.
Semalam, rata-rata rakyat melahirkan kekecewaan di media sosial apabila kes jangkitan harian Covid-19 terus meningkat kepada 8,868 kes.
Kebanyakan rakyat membuat luahan di media sosial, mengakui muak dan tertekan dengan kes Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda untuk pulih selain kemelut politik negara yang tidak berkesudahan. – Malaysiapost

