Covid-19: PH desak kerajaan turunkan yuran IPTA

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mendesak kerajaan menurunkan yuran pengajian di Universiti Awam (UA) memandangkan negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam kenyataan memaklumkan, bersetuju dengan tuntutan para siswa agar UA menurunkan yuran dengan mengecualikan yuran-yuran tidak berkaitan sewaktu kebanyakan pelajar menjalankan sesi kuliah dan pembelajaran mereka secara dalam talian.

“JKPPH juga mengambil maklum beberapa siri pertemuan telah diadakan di antara wakil pelajar dengan pihak pentadbir universiti mereka, dan yang terkini pertemuan mereka dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara tersebut.

“JKPPH juga mengambil maklum tuntutan oleh para siswa dari institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) agar yuran mereka juga diturunkan di dalam keadaan mereka terpaksa belajar secara dalam talian sepanjang wabak melanda,” kata kenyataan itu, hari ini.

Bagaimanapun JKPPH berkata, pihaknya cakna terhadap survival IPTS yang kebanyakannya dilanda krisis sepanjang wabak melanda kerana kurangnya kemasukan pelajar baharu sepanjang tempoh Covid-19.

“Terutamanya kemasukan pelajar antarabangsa yang majoritinya merupakan punca pendapatan kepada IPTS tempatan.

“JKPPH sedar bahawa pihak kerajaan harus mengambil langkah tidak konvensional di dalam menangani krisis Pendidikan di kala wabak melanda,” katanya.

Justeru, JKPPH menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil beberapa pendekatan yang tidak konvensional di dalam memastikan proses pendidikan tidak terganggu dan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti di peringkat pengajian tinggi tidak terbantut

“Menurunkan yuran di UA selaras dengan tuntutan para siswa, dan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran-geran khas sementara krisis ekonomi dan wabak yang melanda.

“Menyalurkan lebih banyak geran-geran untuk pembangunan infrastruktur dan infostruktur digital di kesemua 20 UA demi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital dapat dijalankan oleh kesemua UA demi keselesaan dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran para siswa dan para pensyarah.

Sementara itu, katanya, bagi pihak IPTS pula, dicadangkan agar kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada para pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang belajar di IPTS yang memungkinkan pihak IPTS membuat penurunan yuran yang dikenakan ke atas mereka.

“JKPPH juga mencadangkan agar pengecualian cukai ke atas IPTS juga boleh dilakukan berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar memerlukan, dan juga berdasarkan penurunan yuran yang mereka berikan kepada para pelajar tempatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here