Ismail Sabri mula tugas TPM

0
1

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memasuki Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya bagi memulakan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam pentadbiran kerajaan.

Ismail Sabri tiba di pekarangan Kompleks Perdana Putra pada jam 10 pagi dengan bersut biru disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memasuki Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya

Ismail Sabri mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di Aras 4 dan kemudian menandatangani Buku Selamat Datang, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad.

Beliau kemudiannya menghadiri Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Putra menempatkan pejabat-pejabat utama dalam pentadbiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Rabu lalu Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menerusi Facebook berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab berkenaan dengan penuh amanah demi negara dan rakyat.

“Pada hari Jumaat yang penuh barakah, saya memulakan tugas dengan menggalas amanah yang lebih besar demi rakyat Malaysia dan negara yang saya cintai.

“Insya Allah, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here