Kembalikan kuasa rakyat untuk pilih kerajaan kompeten – Najib

0
1

KEMBALIKAN kuasa rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang kukuh dan kompeten adalah satu-satunya pilihan untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bimbang dengan kuasa rakyat sekiranya yakin dengan prestasi pentadbiran masing-masing semsa menjadi kerajaan.

Menurutnya, apa yang diputuskan Umno dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam sama dengan pendirian parti itu sejak dari dulu.

Katanya, penubuhan kerajaan sementara bersama Bersatu dengan syarat Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan ada kerana tuntutan Umno untuk membubarkan Parlimen tidak mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Syarat ini juga dipersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional dan dipersetujui PPBM (Bersatu).

“Sebab itu, PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dah berulang kali janji akan adakan PRU sejak tahun lalu termasuk janji terakhir pada bulan Januari bahawa dia jamin PRU akan diadakan sebaik sahaja selepas Darurat berakhir.

“Tapi tak sangka kita bahawa pengendalian Covid kerajaan PN semakin teruk dengan pelbagai kesilapan yang diulang-ulang walaupun jelas ianya adalah kesilapan besar yang menghalang PRU – walaupun sudah diberi kuasa penuh Darurat selama tujuh bulan.

“Seolah-olah kesilapan-kesilapan ini disengajakan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Mesyuarat MKT Umno memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, Umno menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Najib berkata, keputusan Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin kerana faham akan dua masalah utama yang mencabar negara ketika ini.

Katanya, rakyat telah lama berkurung tanpa pendapatan hampir enam bulan dan sudah hilang keyakinan terhadap usaha kerajaan PN membendung Covid-19 dengan kegagalan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Malah paling mengejutkan ialah majoriti rakyat percaya bahawa usaha kerajaan untuk lawan Covid mempunyai muslihat politik tersembunyi dengan matlamat untuk memanjangkan krisis untuk kekalkan kuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan PN atau digelar kerajaan pintu belakang yang tidak stabil dengan majoriti tipis terbina atas pengkhianatan dan kuasa ‘katak’, bukannya kuasa rakyat.

“Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita tidak boleh biarkan keadaan yang sakit untuk berterusan tanpa diubat dengan segera. Tak boleh tunggu setahun atau dua tahun lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here