Ahmad Maslan ingatkan Ahli Umno jadikan keputusan parti panduan

0
2
ahmad maslan

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan Ahli Parlimen Umno untuk menjadikan keputusan parti sebagai panduan walaupun dibenar menggunakan budi bicara sendiri dalam pengundian di Parlimen nanti.

Ahmad berkata demikian dalam kenyataan ‘tambahan’ terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat malam Rabu lalu, untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“MKT juga telah mengambil keputusan bahawa ketika sidang parlimen nanti, ahli-ahli parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian.

“Namun, difahami bahawa semua keputusan parti mestilah dijadikan panduan oleh ahli-ahli parlimen Umno dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka,” katanya.

Selepas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi semalam, sumber mendakwa Ahli Parlimen Umno mendapat kelonggaran untuk bebas mengundi di Dewan Rakyat.

Ia dikuatkan dengan penyebaran audio mirip suara Ahmad Zahid yang dikatakan memberi kuasa kepada Ahli Parlimen Umno semasa pengundian di parlimen, sebagaimana yang ‘dihasratkan’ ketika dia menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, majoriti Ahli Parlimen Umno dipercayai berpihak kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mana masing-masing kini dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan, kelmarin.

Dalam pada itu, media melaporkan, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman antara enam anggota MKT Umno yang tidak bersetuju dengan keputusan parti menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ia dinyatakan Ahmad Zahid dalam mesyuarat MKT Umno kelmarin, menerusi satu rakaman audio yang tular di media sosial.

Parlimen dijadual bersidang lima hari dari 26 Julai hingga 2 Ogos, dan disahkan akan membenarkan perbahasan serta pengundian – tertakluk kepada agenda yang akan ditetapkan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here