JUMLAH kes tinggi di Selangor hari ini berpunca antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hari ini ia menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346, selain saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD.
Sehubungan itu katanya, dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, beliau telah mengesyorkan beberapa cadangan untuk dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pertama, mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD.
“Kerajaan negeri melihat matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.
“Oleh itu, kerajaan negeri mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.
Terdahulu Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan 4,152 kes baharu Covid-19 di Selangor, iaitu tertinggi pernah direkodkan di negeri itu.
Jumlah itu hampir separuh daripada keseluruhan 8,868 kes baharu Covid-19 yang dicatatkan di seluruh negara hari ini.
Sejak 3 Julai lalu, kerajaan melaksanakan PKPD di sebahagian besar negeri itu melalui mukim-mukim bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang terus meningkat. – Malaysiapost

