MP Umno tentukan sendiri sokong atau tolak Muhyiddin di Parlimen

0
2

UMNO memberi kuasa kepada Ahli Parlimennya membuat keputusan sama ada menyokong atau tidak, jika berlaku pengundian percaya atau tidak percaya kepada Perdana Menteri dalam persidangan Parlimen akan datang.

Keputusan itu dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad zahid Hamidi dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi, menerusi satu rakaman audio yang tular di media sosial.

Beliau dipetik berkata, daripada 56 pemimpin yang hadir mesyuarat MKT Umno, 35 menyokong tanpa syarat Umno menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta.

Selain 15 lagi menyokong secara bersyarat serta ada yang berkecuali, maka keputusan tersebut dibuat.

“Saya merasakan bahawa apa yang kita perlu lakukan ialah membuat keputusan.

“Keputusan pertama kita memberi kuasa kepada Ahli-Ahli Parlimen Umno bahawa apabila persidangan Parlimen dijalankan dan ketika ada agenda pengundian sama ada percaya atau tak percaya, kita serah kepada budi bicara YB-YB buat keputusan, sebagaimana yang dihasratkan ketika saya menghadap Tuanku.

“Untuk itu, parti buat keputusan bahawa parti menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, ini keputusan parti, namun keputusan Ahli-Ahli Parlimen adalah seperti yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media selepas mesyuarat MKT awal pagi tadi, Ahmad Zahid berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here