Zahid sebenarnya gagal, bukan kerajaan PN – Wan Saiful

0
1

BERSATU menolak tuduhan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan telah gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata tuduhan Presiden Umno itu hanya ulang suara tohmahan yang sering disebut pembangkang, terutama PKR dan DAP.

Sebaliknya beliau berkata pelbagai bentuk bantuan telah dikeluarkan kerajaan dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan lebih RM500 bilion setakat ini.

Malah katanya, tidak pernah ada pakej bantuan lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi.

“Pelan Pemulihan Negara pula menggariskan dengan jelas strategi membawa negara keluar daripada belenggu wabak Covid-19.

“Vaksinasi menjadi senjata utama kita, dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang kita terima akan meningkat ke 16 juta dos. Pemberian vaksin harian juta telah meningkat kepada lebih 300,00 dos sehari.

“Dari segi menjaga kebajikan rakyat, menjaga kesihatan rakyat, dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu katanya, tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.

Sebaliknya katanya, Bersatu berpandangan Ahmad Zahid sebenarnya gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan parti-parti politik Melayu-Islam.

Selain itu, katanya, Ahmad Zahid gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat.

“Gagal memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan, gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh Umno yang berada dalam kerajaan untuk kita semua bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat, dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi.

“Pengumuman oleh Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli-ahli parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here