Tajuddin, Zahidi antara 6 tak setuju keputusan MKT

0
2

PENGARAH Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman antara enam anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang tidak bersetuju dengan keputusan parti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi, menerusi satu rakaman audio yang tular di media sosial.

Turut tidak bersetuju ialah Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Datuk Dira Abu Zahar selain tiga lagi yang tidak disebut namanya.

Malah, Ahmad Zahid menerusi audio itu berkata, Zahidi adalah satu-satunya anggota MKT yang tidak ditemuinya ketika perjumpaan dengan setiap anggota MKT sebelum ini.

“Saya anggap beliau tidak setuju berdasarkan kenyataan yang beliau tulis dan disiarkan media. Saya sebut juga bahawa Datuk Dira Abu Zahar mohon berkecuali, saya juga anggap beliau tidak menyokong.

“Begitu juga Tajuddin minta KIV, itu juga saya anggap tidak menyokong dan terdapat dua lagi tak bersetuju,” katanya.

Dalam rakaman audio itu, Ahmad Zahid seterusnya berkata kesimpulan yang beliau peroleh daripada 56 ahli MKT, 35 menyokong tanpa syarat, manakala 15 lagi menyokong secara bersyarat.

“Jumlahnya 50 (menyokong), terdapat seorang yang saya anggap tidak menyokong, seorang KIV, ada yang terkecuali, jadi jumlahnya semua yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menjelaskan berdasarkan jumlah tersebut serta pandangan daripada 25 ahli MKT dalam mesyuarat malam tadi, maka Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Muhyyiddin serta-merta.

Terdahulu dalam sidang media selepas mesyuarat MKT awal pagi tadi, Ahmad Zahid berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here