TIGA lelaki ditahan kerana dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini.
Mereka ditahan dalam operasi dua jam bermula jam 10 pagi tadi di Plaza Tol Sunway menghala Kuala Lumpur.
JSPT Bukit Aman menerusi kenyataan berkata sebanyak tujuh saman dikeluarkan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada masa sama, katanya, sebanyak 50 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
“Operasi ini dilaksanakan bertujuan untuk mengesan pesalah trafik secara menyeluruh serta pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah.
“Operasi tamat pada jam 12 tengah hari tanpa sebarang kemalangan dan halangan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Operasi itu diketuai Pegawai Turus Zon Tengah B Jspt Bukit Aman, Asisten Superintendan Amir Che Ya bersama dua pegawai dan 13 anggota serta dibantu dua pegawai serta lapan anggota AADK. – Malaysiapost

