SUSULAN Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga nama pemimpin parti itu disebut-sebut bakal menjadi Perdana Menteri menggantikan Presiden Bersatu itu.
Menurut sumber dalaman Umno, tiga nama tersebut ialah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Kata sumber itu, Ismail Sabri mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu berbanding Hishammuddin dan Tengku Razaleigh kerana beliau kini Timbalan Perdana Menteri.
“Lagipun ikut hirarki Umno, Ismail Sabri lebih layak kerana beliau Naib Presiden selain berpengalaman luas dalam selok-belok pentadbiran negara.
“Namun jangan mengenepikan pengaruh Hishammuddin dan juga orang lama seperti Ku Li. Mereka juga berpengalaman luas,” katanya.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam memutuskan untuk menarik sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin dan menuntut beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri secara terhormat.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno memutuskan demikian kerana tidak berpuas hati terhadap Muhyiddin yang gagal menguruskan kerajaan dengan baik.
Bagaimanapun, MKT Umno memaklumkan parti itu kekal berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menerima pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan. – Malaysiapost

