KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tepat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata keputusan itu akan memberi laluan kepada pentadbiran sementara dengan tempoh dan matlamat tetap untuk menyelesaikan Covid-19, bantuan rakyat dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi.
Katanya, ia disusuli dengan langkah membubarkan Parlimen untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Ia bukan sahaja langkah paling tepat malah satu-satunya sahaja pilihan untuk kebaikan rakyat dan negara bagi jangka masa pendek dan panjang.
“Cara penyelesalian ini juga memenuhi hasrat titah Raja-Raja Pemerintah bulan lalu bahawa perlunya ada sebuah kerajaan stabil yang mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat (bukan katak),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Najib bagaimanapun berkata cara menyelesaikan masalah itu bukan dengan menggantikan kerajaan ‘pintu belakang’ yang tidak stabil dengan majoriti tipis yang terbina atas pengkhianatan dan kuasa katak, dengan sebuah lagi kerajaan pintu belakang tidak stabil dengan majoriti tipis yang terbina melalui cara sama.
“Sebab itu, kerajaan interim ini perlu ada tempoh hadnya dengan matlamat jelas. Tidak boleh melebihi tempoh tiga hingga enam bulan sebab ia juga sebuah kerajaan pintu belakang dengan majoriti tipis yang bukan pilihan rakyat.
“Lagipun tempoh untuk Parlimen terbubar dengan sendirinya juga cuma kurang dua tahun lagi sebelum penggal PRU ini berakhir. UMNO dan BN tak takut untuk menghadapi rakyat apabila tiba masanya.
“Sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) percaya mereka mempunyai sokongan padu dari rakyat dan prestasi memerintah terbukti baik, maka mereka juga tidak perlu takut untuk menghadapi rakyat apabila tiba masanya,” katanya.

