UMNO tidak lagi perlu berterusan menanggung kegagalan demi kegagalan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Demikian kata Ketua Umno Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid yang menyifatkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin amat ditunggu-tunggu segenap akar umbi Umno.
Katanya, Umno tidak boleh lagi membiarkan Muhyiddin mengambil kesempatan di kala kesulitan ini untuk memperkukuhkan Bersatu dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Kami juga percaya bahawa keputusan MKT Umno bertujuan untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus diurus secara tidak berhemah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Exco Pemuda Umno itu menjelaskan kemuncak kegagalan Kerajaan PN adalah kempen bendera putih yang tular di media sosial baru-baru ini akibat daripada rakyat yang mengalami kesempitan hidup keterlaluan.
“Ia memperlihatkan berbilion-bilion pakej bantuan dirangka oleh kerajaan PN tidak sampai kepada golongan yang terdesak ini, malah membebankan rakyat dengan pelbagai dasar, peraturan dan birokrasi.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Presiden dan seluruh ahli MKT kerana mendengar serta menghormati suara akar umbi Umno dan seluruh rakyat yang kecewa terhadap prestasi pentadbiran kerajaan PN yang amat lemah,” katanya. – Malaysiapost

