Kenyataan media Zahid tak gambarkan keputusan mesyuarat MKT

0
1

BEKAS Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan media Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi, tidak menggambarkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Annuar berkata, sebaik saja Ahmad Zahid selesai membuat kenyataan media, beliau dihubungi beberapa ahli MKT yang menyatakan kenyataan tersebut tidak seperti apa yang berlaku dalam mesyuarat.

Malah, beliau mendakwa tinjauan lanjut menyatakan apa yang dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MKT bermesyuarat.

“Jika benar, ternyata sekali lagi MKT dipermainkan dan ini amat serius.

“Pagi ini, apabila saya menjenguk WhatsApp Group ketua-ketua Umno bahagian, ramai yang mengeluh dan dalam kekeliruan dengan kenyataan media Presiden umno.

“Terdapat juga ketua Umno bahagian yang juga ahli MKT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT.

“Mengapakah ini terus terjadi berkali-kali. Lain dibincang, lain pula dirumuskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam sidang media selepas mesyuarat MKT awal pagi tadi, Ahmad Zahid berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta.

Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh berkata dalam mesyuarat tersebut seramai 25 ahli MKT telah bercakap, dalam suasana tenang dan jujur memberi pendapat yang berbeza-beza,

“Tiada consensus yang ketara. Tiada undian dibuat. Malah perbincangan tidak berkisar pada sama ada Umno perlu keluar dari Kerajaan PN, seperti dimomokkan sebelum ini, termasuk pendirian yang dipohon dari pertemuan secara berasingan dengan ahli MKT.

“Dalam kata lain, Presiden umno wajib menjelaskan kedudukan sebenar. Segera keluar kenyataan yang benar. Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here