TPM, Hishammuddin dan Takiyuddin jumpa Perdana Menteri

0
1

KEDIAMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di ibu negara menjadi tumpuan sejak pagi tadi.

Ia dipercayai susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menarik sokongan serta-merta terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan, antara yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut kelihatan memasuki kediaman Muhyiddin adalah kenderaan membawa Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dilaporkan turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Bermula jam 12.35 tengah hari tadi, empat kenderaan dipercayai membawa menteri Kabinet keluar dari kawasan kediaman Perdana Menteri.

Kediaman Muhyiddin menjadi tumpuan sejak kira-kira jam 9.30 pagi tadi apabila beberapa kenderaan kerajaan dipercayai membawa menteri dan kenamaan kelihatan memasuki kawasan tersebut.

Dalam sidang media selepas mesyuarat MKT awal pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here