PKPD: Lebih banyak sektor di Selangor dibenarkan beroperasi hari ini

0
2

SEKTOR elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan serta makanan, syarikat pembuatan makanan dan minuman utama dibenarkan untuk beroperasi di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor bermula hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dan dibincangkan bersama antara MITI, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

“Keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan, makanan dan minuman di dalam negara,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, bagi sektor aeroangkasa kebenaran diberikan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan.

Syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ dan bertarikh daripada Jun lalu.

Syarikat-syarikat diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengilangan dan pembuatan PKPD Selangor semasa sepenuhnya yang merangkumi antaranya sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi, selain keperluan mematuhi kapasiti operasi pada kadar 60 peratus bagi pekerja di premis dan 40 peratus lagi pekerja untuk melaksanakan amalan bekerja dari rumah,” katanya.

Melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang bermula 16 Jun lalu, MITI akan memastikan program vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan akan dipertingkat dan dipercepatkan untuk melindungi kesihatan pekerja dan menjamin kelangsungan ekonomi negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here