KITA mungkin biasa mendengar penumpang tertinggal dompet atau telefon bimbit dalam kenderaan awam.
Namun tertinggal gigi palsu adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku, namun ia benar-benar terjadi.
Perkara itu dikongsi Rapid KL menerusi hantaran di Facebook (FB) hari ini.
Menerusi hantaran itu, Rapid KL memaklumkan gigi palsu itu ditemukan dalam Tren 151 laluan Kelana Jaya dan pihaknya meminta individu berkenaan untuk menghubungi mereka bagi menuntut semula barangnya.
“Kepada yang tertinggal gigi palsu ketika menaiki Tren 151 laluan Kelana Jaya sebentar tadi, sila hubungi kami untuk mendapatkan kembali barang anda. Terima kasih,” tulisnya.
Rata-rata netizen berharap gigi palsu itu dapat bertemu semula dengan ‘tuan badan’ kerana ketika pandemik Covid-19 ini, bukan mudah untuk membuat semula dan pembuatan gigi itu makan kos yang agak tinggi.
Netizen, Ameyr Rush berkata, ‘Oh! Susah hidup kalau tak ada gigi ini’.
“Hilang handphone ok lagi, hilang wallet pun kira ok lagi… Tetapi kalau hilang gigi, oh no… Susah! Makan tak boleh, nak bercakap pun susah! Gigi itu kehidupan! Semoga gigi tu akan bertemu dengan tuannya kembali,” katanya.
Seorang lagi netizen, Laily Shaari pula berkata, semoga dipermudahkan urusan pemiliknya.
“Nak gelak tu memang ada, tapi susah juga kalau tak ada. Nak buat balik bukan murah, boleh cecah ribu riban juga kalau yang high quality,” katanya. – Malaysiapost

