Abang MBJB tangkap peragut dapat hadiah jam tangan

0
3

SIKAP berani seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menahan peragut dalam kejadian di Taman Mount Austin semalam, telah dihadiahkan jam tangan oleh orang awam.

Terdahulu, video berkaitan kejadian tular di media sosial yang memaparkan tindakan pantas Shazrin Hafeez, 26, menangkap peragut bermotosikal yang meragut bag tangan seorang wanita.

Shazrin berkata, pemberian hadiah itu diterimanya malam tadi ketika dia berniaga burger secara sambilan di Taman Anggerik di Johor Jaya.

“Saya tidak menyangka pelanggan yang pada mulanya membeli burger tiba-tiba menghulurkan jam tangan berjenama kepada saya dan saya rasa terharu.

“Pelanggan lelaki itu pada mulanya memesan burger, dia kemudiannya menghulurkan jam tangan sambil mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantu mangsa ragut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Bagaimanapun, Shazrin tidak pasti sama ada lelaki itu ada kaitan dengan mangsa atau sebaliknya.

Jam tangan itu, katanya akan disimpan sebagai tanda kenangan dan beliau sama sekali tidak menduga ada pihak yang menghargai
tindakannya menangkap peragut terbabit.

“Saya menangkap peragut itu atas dasar tanggungjawab,” katanya yang turut menerima pujian polis. – Malaysiapost