Pegawai APMM, anak maut kemalangan

0
2

SEORANG suri rumah pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih selepas suaminya yang juga pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anaknya maut dalam kemalangan di Kuala Nerus, semalam.

Wanita itu, Siti Hawa Mohd Sebari, 30. menangis dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga dan rakan ketika menunggu jenazah kedua-dua mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam kemalangan itu, Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Memetik laporan Harian Metro, nahas berlaku selepas motosikal ditunggang dua beranak itu dirempuh Proton Preve di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus, jam 7 malam tadi.

Mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat APMM Terengganu dilaporkan dalam perjalanan menghantar anaknya ke kelas mengaji dari rumah mereka di Gong Badak dengan menunggang motosikal jenis Honda Vario.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan keluar dari simpang sebelum dirempuh Proton Preve dipandu lelaki berusia 38 tahun.

Dua beranak itu tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Preve cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook rasmi APMM, pengurusan tertinggi dan seluruh warga Maritim Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Semoga roh Allahyarham dan anakandanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin. – Malaysiapost