KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan mengeluarkan pekeliling untuk menawarkan pelantikan semula jawatan pegawai kontrak kepada doktor kontrak selama setahun bermula 5 Disember 2021 hingga 4 Disember 2022.
Memetik laporan MalaysiaKini, pekeliling itu menyatakan, doktor Gred UD43 akan ditawarkan kontrak secara one-off susulan wabak Covid-19.
“Penempatan tuan/puan bagi tujuan pelantikan semula secara kontrak adalah dikekalkan melainkan diarahkan bertukar oleh ketua jabatan.
“Bagaimanapun, ketua jabatan dimohon untuk mengutamakan penempatan tuan/puan ke pusat pemberian vaksin (PPV) selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick),” menurut pekeliling itu.
Pekeliling itu turut menyatakan, pelantikan itu tertakluk kepada semakan terma dan syarat perkhidmatan yang ditentukan kerajaan dari masa ke masa, selain ia dibuat secara one-off dan tidak menjadi duluan untuk masa akan datang.
Sistem kontrak ini mula diperkenalkan pada 2016 sebagai penyelesaian awal bagi isu penangguhan penempatan di kalangan doktor pelatih.
Dengan menyertai perkhidmatan awam, doktor baru akan diberi pakej kontrak lima tahun, iaitu kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun.
Setakat ini seramai 23,077 doktor kontrak telah diambil. Bagaimanapun, hanya 789 daripada mereka yang diberi penempatan kekal dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber seorang wakil Persatuan Perubatan Malaysia( MMA) memaklumkan, kemungkinan kempen Code Black dan Black Monday (dijadual 12 Julai ini) sedikit sebanyak memberi impak dalam mendorong kerajaan membuat keputusan ini.
“Ia sudah pun disebut sebelum ini jadi saya tak fikir rancangan itu sesuatu yang baru, tetapi pelaksanaannya mungkin akibat tekanan.
“Kebanyakan doktor (kontrak) pengambilan pertama akan tamat kontrak pada akhir tahun ini diberi lanjutan setahun oleh KKM.
“Bagaimanapun, langkah ini tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata, MMA telah banyak kali menggesa kerajaan untuk merangka penyelesaian jangka panjang dan tidak menangani isu tersebut seperti merawat pesakit tanpa mengenal pasti punca penyakitnya.
“Lanjutan kontrak adalah bagus, tempoh setahun yang ditawarkan bukanlah sesuatu yang sesuai,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan mogok pada 26 Julai ini jika dua tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
Hartal Doktor Kontrak berkata, tindakan drastik itu akan diambil sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan berkenaan dan tidak ada hitam putih mengenainya dalam tempoh tiga minggu ini.
Jurucakapnya, Dr Mustapha Kamal A Aziz, berkata pihaknya menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/07/01/jika-tuntutan-tak-dipenuhi-doktor-kontrak-mogok-26-julai/

