“KEADAAN sekarang bukan isu rakyat malas kerja,” kata pengasas rangkaian produk Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim.
Kenyataan Rozita atau mesra disapa ‘Bonda’ itu membidas kenyataan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) yang menegur rakyat supaya tidak harapkan bantuan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Rozita, semasa sebelum Covid-19 melanda negara tiada sesiapa yang mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.
Katanya, perkataan ‘malas’ yang digunakan DSV tidak sesuai kerana ramai lagi individu yang melakukan perkara lebih jahat seperti mencuri, menipu yang boleh merosakkan negara.
“Saya pernah lalui kemiskinan tapi bukan dalam Covid. Tak semua orang miskin meminta-minta. Ayat malas tidak sesuai digunakan dalam rakyat tertekan.
“Kita simpati kena ada sensitivity sebab manusia sekarang sangat teruk perasaannya. ‘Posting’ berhati-hati untuk menjaga perasaan hati semua orang.
“Rakyat tolong rakyat, kami tidak mahu a da yang kelaparan dan bunuh diri,” katanya dalam hantaran Instagram.
Semalam, DSV mendapat kecaman hebat ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan lontaran pendapatnya berhubung gerakan membantu orang susah termasuklah menyebut kibar bendera putih.
Dalam video tersebut DSV berkata jangan menggunakan alasan PKP untuk tidak berusaha keluar daripada kemelut masalah dan hanya mengharapkan bantuan luar.
Sementara itu, Rozita berkata, secara logiknya tidak ada mana-mana individu yang mahu mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.
Beliau juga meluahkan rasa sedih melihat situasi yang berlaku kepada rakyat dan negara kerana pada pandangan peribadinya penduduk Malaysia bukan bersifat meminta-minta.
“Semua orang mahu kerja tak harapkan duit kerajaan. Kita nak kehidupan bebas dahulu. Semua sudah usaha macam-macam.
“Bonda hormat Datuk Vida juga sebab niat dia bagus mahu bagi motivasi pada rakyat Malaysia. Tetapi rakyat tidak perlu motivasi begitu saat ini mereka lagi ‘down’ nanti.
“Mereka dalam gelora dan ‘down’. Jangan kita tambah kepedihan mereka. Kita orang tua Datuk Vida, banyak pengalaman suka duka,” ujarnya – Malaysiapost

