“Kalau dah mengaku bodoh, dengar nasihat” – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus mengakui kegagalan dan bukannya melakukan propaganda politik untuk mengalih pandangan.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak perlu mengaitkan Melayu-Islam dengan kegagalan kerana Melayu-Islam itu hakikatnya tidak pernah gagal.

Katanya, sekiranya kerajaan yang ada hari ini tidak mampu mentadbir dan menjaga 32 juta rakyat adalah wajar supaya tampuk pemerintahan diserahkan kepada yang layak.

“Sebab rakyat sudah di jalan buntu dan benar-benar terseksa. Jika tak mampu jaga 32 juta Rakyat, berilah pada lain.

“Kalau dah mengaku bodoh, dengar nasihat. Jika tak cukup dana, cari dana,” katanya dalam hantaran Facebook.

Najib berkata, sekiranya rakyat meminta bantuan kerajaan perlu melaksanakannya daripada mempertikai permintaan mereka kerana tidak ada siapa yang mahu meminta-minta jika tidak terdesak.

“Sekiranya orang minta bantuan segera, bantu sahaja. Jangan didenda, disaman, dipertikaikan, disuruh rayu atau disuruh tunggu .

“Tak siapa nak minta bantuan secara umum jika situasi mereka tidak terdesak. Setiap manusia ada maruah dirinya.

“Jika pendekatan tak berhasil, tukar pendekatan. Jangan diulang-ulang langkah yang terbukti gagal untuk harap hasil berlainan,” katanya.

Beliau berkata, sejak berbulan lamanya rakyat menderita dan keadaan hari ini menyebabkan ekonomi isi rumah semakin parah.

“Jangan membisu dan pandang saja selama berbulan-bulan lamanya ketika berjuta orang dan keluarga semakin parah.

“Bulan Mei, bulan Jun, bulan Julai berlalu begitu sahaja. Dari hari raya Puasa ke raya Haji, keadaan tetap kritikal. Kalau dah gagal, mengaku sahaja,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 melebihi angka 7,000 dengan 7,654 kes dilaporkan sekali gus menjadikan keseluruhan kes setakat ini adalah 792,693 kes.

Sementara, 103 kes kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak wabak itu melanda negara adalah 5,677 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here