JUTAWAN kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) mempertahankan kenyataan yang dibuat dalam satu video di aplikasi TikTok baru-baru ini, dengan mendakwa tidak bermaksud mempersendakan kempen kibar bendera putih.
Menerusi video terbaharunya, DSV atau nama penuhnya Hasmiza Othman berkata, masih ramai golongan susah yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 tetapi tidak mengibarkan bendera putih atas sebab-sebab tertentu.
Menguatkan lagi pendapatnya, DSV berkata orang ramai sepatutnya mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup berbanding hanya mengharapkan bantuan daripada pihak luar.
“Ramai yang tidak angkat bendera putih pun susah tetapi malu dengan jiran, malu dengan nama keluarga sebab angkat bendera putih nampak anda sangat mengharapkan bantuan.
“Tapi kalau angkat bendera putih sekalipun sampai bila? Sampai bila orang akan bantu anda? Akhirnya anda kena berusaha untuk ubah nasib sendiri.
“Tiada siapa boleh ubah nasib anda melainkan diri sendiri. Kena mula dari sekarang, jangan tersepit. Faham?,” katanya dalam video tersebut.
Semalam, DSV mendapat kecaman hebat ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan lontaran pendapatnya berhubung gerakan membantu orang susah termasuklah menyebut kibar bendera putih.
Dalam video tersebut DSV berkata jangan menggunakan alasan PKP untuk tidak berusaha keluar daripada kemelut masalah dan hanya mengharapkan bantuan luar.
Beliau juga menjadikan anak muda yang berpendapatan RM200 hingga RM250 sehari menerusi jualan gerai kecil-kecilan sebgai contoh mereka yang berusaha mencari rezeki dan tidak hanya menunggu bantuan sahaja. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

