Isu kebun durian: Michael Ang lepas geram pihak cuba cetus api perkauman

0
2
{"uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1625579102272","source":"other","origin":"unknown"}

PENERBIT dan pengarah Michael Ang mengecam pemimpin pembangkang yang dilihat cuba mengambil kesempatan isu kebun durian di Raub, Pahang dengan membakar sentimen kebencian perkauman.  

Menerusi hantaran di Instagram, Michael menasihatkan pemimpin DAP terbabit supaya tidak cuba mencetuskan pergaduhan di antara Cina dengan kerajaan. 

“Kita duduk dalam Malaysia ini tak payah buat video dalam mandarin (untuk) mengapi-apikan orang. Lebih baik cari jalan selesai rakyat tidak makan dan Covid-19 ini dari memutar belit benda ini. 

“Aku yang Cina ini pun akan meluat dengan kau orang yang mempermainkan isu ini. Kalau kau di bahagian betul boleh juga aku sokong,” tulisnya di Instagram. 

Tegasnya, pekebun durian terbabit juga disifatkan bernasib baik kerana pihak berkuasa tidak menyaman mereka kerana menceroboh tanah kerajaan dan sudah mengaut keuntungan besar hasil jualan raja buah itu. 

Semalam, kekecohan tercetus di Kompleks Mahkamah Raub selepas berlaku pertengkaran antara beberapa pemimpin DAP dengan pihak berkuasa ketika proses permohonan reman 18 pekebun durian musang king.  

Pemimpin DAP terbabit antaranya Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew. 

Orang ramai turut mengkritik tindakan Ronnie Liu yang merentas negeri dari Selangor ke Pahang yang dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Terdahulu, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian musang king direman dua hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dilepaskan dengan ikat jamin. 

Kesemua mereka ditahan pada 4 Julai lalu selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here