POLIS memburu 69 penduduk Pulau Gaya, Kota Kinabalu yang telah melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pondo, hari ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata usaha menjejaki penduduk terbabit giat dilakukan anggota dari Balai Polis Pulau Gaya.
Masidi menjelaskan penduduk terbabit dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC).
“Penduduk terbabit digesa kembali ke kampung bagi mengelakkan tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Masidi turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penduduk kampung terbabit supaya menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat.-Malaysiapost

