Wanita didakwa dera remaja OKU ditahan

0
2
Polis Di Raja Malaysia

POLIS menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berkaitan kes penderaan remaja perempuan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof, berkata siasatan awal mendapati terdapat kesan melecur di bahagian dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagaian badan remaja berusia 13 tahun itu.

Beliau berkata, mangsa yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur turut didapati positif Covid-19.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek yang tinggal di unit kondominium tersebut sejak 14 Julai 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan turut mendapati kondominium berkenaan didiami enam lagi kanak-kanak tetapi kesemua mereka tiada kesan kecederaan.

“Kediaman tersebut dijaga oleh seorang wanita berumur 28 tahun,” katanya.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Semua saksi-saksi yang terlibat didapati positif Covid-19 dan polis akan meneruskan siasatan selepas kesemua mereka selesai menjalani kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja menghidap sindrom down disyaki didera di sebuah rumah kebajikan didiaminya sejak setahun lalu.

Seorang pengguna Facebook yang mendedahkan perkara itu mendakwa, remaja itu dijadikan anak angkat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here