TANPA diduga, platform membeli belah dalam talian Shopee ada menyediakan produk berbentuk motivasi yang boleh mengembalikan semangat seseorang dalam kehidupan.
Kedengarannya pelik, tapi itulah yang berlaku apabila produk ‘rare’ iaitu ‘Kata-Kata Semangat’ boleh dibeli oleh orang ramai dengan harga serendah 20 sen di Shopee.
Tinjauan di ruangan iklan Shopee, produk itu adalah item terbaharu di platform berkenaan dengan ditawarkan penghantaran percuma jika seseorang membuat pembelian melebihi RM15.
Berdasarkan keterangan penjual yang dikenali sebagai little.edenia, produk yang dijualnya itu dapat memberikan semangat baharu kepada pembeli.
“Hari anda terasa lemau, murung dan tidak bersemangat? Kami boleh bantu anda menyemangatkan hari anda, jangan biarkan hari-hari anda selubungi kelemahan, kesedihan, atau kemalasan.
“Kami boleh bantu semangatkan hari anda dengan kata-kata semangat buat anda. Hanya perlu nyatakan apa masalah anda dan kami akan beri kata-kata semangat untuk anda menghadapinya.
“Servis ini terbuka untuk semua orang terutama bagi yang inginkan hari mereka penuh dengan semangat untuk melalui hari-hari mendatang,” tulis penjual itu di Shopee.
Tambah penjual itu, pihaknya bukanlah kaunselor bertauliah, namun mereka suka menggembirakan orang lain terutama ketika negara sedang menghadapi situasi tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.
Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Effiza Abdul Rahim telah berkongsi pengalamannya membeli ‘item’ tersebut di Shopee.
“Alhamdulillah, saya perlukan kata-kata semangat sebelum tido. Semua boleh dibeli, jangan ‘down’ sebab tak dapat kata kata semangat.
“Benda bole beli kan, buat apa tunggu orang bagi kata semangat. Ingatkan scammer rupanya betul-betul dapat kata-kata semangat,” tulisnya pada hantaran di Facebook. – Malaysiapost

