‘Kerajaan Allah’: Kit Siang mohon maaf

0
1

PEMIMPIN Veteran DAP, Lim Kit Siang memohon maaf atas hantarannya semalam berhubung ‘Kerajaan Allah’ dan mengakui salah faham terhadap kenyataan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan itu dibuatnya selepas membaca laporan sebuah portal berita mengenai kenyataan Abdul Hadi yang mengatakan Covid-19 adalah ujian Tuhan dan hanya kerajaan Allah SWT mampu menghapuskannya.

Menurutnya, selepas membaca laporan tersebut, beliau telah beranggapan bahawa ‘Allah’s government’ yang disebut oleh Abdul Hadi merujuk kepada Kerajaan Islam, termasuklah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sering mendakwa mereka adalah ‘Kerajaan Melayu-Islam’.

“Atas pemahaman ini, saya telah mengeluarkan kenyataan semalam yang kemudian telah dimuat naik ke platform media sosial saya.

“Saya mempersoalkan kenyataan tersebut kerana menyangka bahawa Hadi Awang menyatakan bahawa hanya sebuah Kerajaan Islam dapat menangani Covid-19.

“Atas kesedaran ini, saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut yang berdasarkan pemahaman yang salah mengenai kenyataan Hadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang bagaimanapun menggesa PAS sebagai salah satu parti komponen Kerajaan PN supaya bertanggungjawab kerana menyebabkan Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi pengendalian Covid-19 yang terburuk di dunia.

“Malaysia kini berhadapan dengan masalah besar, di mana negara kita sedang menjunam pantas menjadi salah satu negara dengan prestasi Covid-19 yang terburuk di dunia.

“ini dapat dilihat dalam penerbitan Indeks Kenormalan Global majalah The Economist, di mana kita terletak di tempat ke-50 daripada sejumlah 50 buah negara,” katanya.

Terdahulu, tangkap layar berkenaan hantaran Kit Siang tular di media sosial sejak semalam, dan menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin beragama Islam.

Kit Siang menempelak kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi yang mengatakan hanya kerajaan Allah SWT boleh menghapuskan wabak Covid-19 pada bila-bila masa.

Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi membuat pernyataan sensasi bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian dari Tuhan dan hanya ‘kerajaan Allah’ yang dapat mengatasi peperangan melawan wabak berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here