PEMUDA Umno akan membuat laporan polis terhadap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang didakwa menghina agama Islam kerana mengaitkan nama Allah SWT dengan kegagalan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau sudah mengarahkan kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno seluruh Malaysia untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Iskandar Puteri terbabit.
Menurutnya, perbuatan Kit Siang itu amat biadap dan kurang ajar serta mesti diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
“Mempermainkan kesucian nama Allah dan mengaitkannya dengan kegagalan kerajaan hari ini menguruskan pandemik Covid-19 adalah satu bentuk penghinaan kepada agama Islam.
“Saya sudah mengarahkan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen dan pemimpin DAP ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut memuat naik tangkap layar kenyataan yang dibuat pemimpin DAP berkenaan semalam.
Kit Siang menempelak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan hanya kerajaan Allah SWT boleh menghapuskan wabak Covid-19 pada bila-bila masa.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi membuat pernyataan sensasi bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian dari Tuhan dan hanya ‘kerajaan Allah’ yang dapat mengatasi peperangan melawan wabak berkenaan.
Asyraf Wajdi berkata, DAP seharusnya belajar bahawa sikap chauvinistik dan rasis mereka yang tidak pernah berubah dengan sewenangnya meremehkan kesucian Islam seperti itulah yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan hanya bertahan 22 bulan.
“Inilah juga sebab Umno satu-satunya parti yang tidak pernah ada pengalaman menjalinkan kerjasama politik bahkan terus mempertahankan mandat perwakilan akar umbi di Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu dan tidak sesekali bersetuju untuk berpakat dengan DAP.
“Itupun dalam diam-diam, pimpinan Perikatan Nasional mahu menandatangani ‘Confidence and Supply Agreement (CSA)’ dengan DAP bagi membolehkan Perdana Menteri terus dapat mandat untuk berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, jika perkara itu berlaku, Umno seharusnya tidak berkompromi dan rakan Muafakat Nasional (MN) PAS juga harus menyatakan pendiriannya.
Sementara itu, semakan Malaysiapost di laman Facebook Lim Kit Siang, mendapati kenyataan yang dibuat oleh pemimpin veteran DAP itu sudah dipadam. – Malaysiapost

